Enjoy free shipping on orders over RM30 for members. Valid until 29th February 2024. Register Now!

Zingiber officinale (Halia)

Benefits of ginger
[zeno_font_resizer]
Zingiber officinale (Halia)

Zingiber officinale, juga dikenali sebagai halia, adalah herba rhizomatous bertahunan daripada jenis Zingiberaceae 1. Halia merupakan rempah dapur yang penting yang memberikan rasa kemanisan lada dengan aroma pedas yang kuat. Ia digunakan dalam pelbagai bentuk, termasuk segar, kering, acar, diawetkan, dikristalkan, dijadikan serbuk atau dihancurkan. Zingiber officinale mempunyai sejarah lama bagi penggunaan dalam perubatan masyarakat Cina dan Ayurveda. Secara tradisionalnya, Zingiber officinale telah digunakan dalam merawat pelbagai penyakit seperti artritis, strok, lumpuh, sakit gigi, sakit haid, demam dan muntah 1,2.

Fakta Nutrisi

Rizom Zingiber officinale memiliki jumlah karbohidrat, mineral dan vitamin yang baik 3. Rizom Zingiber officinale kaya dengan sumber mineral termasuk zat besi, magnesium, kalsium, kalium, fosforus dan zink 2,3. Ia juga mengandungi vitamin seperti tiamin, riboflavin, niasin dan vitamin C 3. Komponen bioaktif yang memberikan manfaat kesihatan adalah gingerol, shogaol, zingerone dan paradol 1,2,3. Komponen ini tidak mudah meruap dan dapat memberikan kesan “hangat”, yang boleh dirasai dalam mulut.

Manfaat Kesihatan

1. Kesihatan sistem pencernaan

Zingiber officinale berkesan dalam melancarkan pencernaan dan melegakan sembelit dan kembung perut dengan mempercepatkan pengosongan isi perut 3. Ekstrak halia juga didapati berpotensi mencegah ulser gastrik dengan meningkatkan penghasilan mukus 1.

2. Mual dan muntah

Zingiber officinale didapati berkesan mencegah mual dan muntah. Halia membantu dalam melegakan mual dan muntah selepas pembedahan. Halia juga berkesan bagi mengurangkan simptom mual bagi wanita mengandung yang mengalami mabuk hamil 1,4.

3. Anti-radang

Zingiber officinale berkesan terhadap keradangan, osteoartritis dan reumatisme 1,3,4. Pengambilan Zingiber officinale sebagai suplemen selama 3 bulan hingga 2 tahun boleh mengurangkan keradangan, bengkak dan sakit lutut 4.

4. Kanser

Ciri-ciri antikanser Zingiber officinale dikaitkan dengan komponen bioaktif [6]-gingerol dan zerumbone 2,4. Zingiber officinale didapati berkesan dalam merencatkan pertumbuhan pelbagai jenis kanser, termasuk limfoma, hepatoma, kanser kolorektal, kanser payudara, kanser kulit, kanser hati dan kanser pundi kencing 4.

5. Kesihatan jantung

Zingiber officinale memainkan peranan penting dalam melindungi jantung. Ia meningkatkan pengaliran darah dalam badan dengan merangsang otot jantung dan mencairkan darah bagi mengurangkan beban pada jantung 3. Ciri-ciri antiplatelet pada halia dapat mengurangkan risiko penggumpalan darah 1,3,4. Ia juga dapat mengurangkan kolesterol LDL, trigliserida dan jumlah kolesterol 3,4.

6. Kawalan kadar gula dalam darah

Zingiber officinale mempunyai kesan antidiabetik. Komponen bioaktif [6]-gingerol meningkatkan sensitiviti insulin dan pengambilan glukosa oleh sel, dan seterusnya membantu mengawal kadar gula dalam darah bagi pesakit kencing manis 4.

Rujukan:

1. Bhandari, R., & Sethiya, J. P. (2018). A pharmacological investigation of Zingiber officinale. International Journal of Research and Review, 5(10), 465-469. https://www.ijrrjournal.com/IJRR_Vol.5_Issue.10_Oct2018/IJRR0057.pdf

2. Liu, Y., Liu, J., & Zhang, Y. (2019). Research progress on chemical constituents of Zingiber officinale roscoe. BioMed Research International, 1-21. doi:10.1155/2019/5370823.

3. Zadeh, J. B., & Kor, N. M. (n.d.). Physiological and pharmaceutical effects of Ginger (Zingiber officinale roscoe) as a valuable medicinal plant. Retrieved May 7, 2021, from https://www.imedpub.com/articles/physiological-and-pharmaceutical-effects-of-ginger-zingiber-officinale-roscoeas-a-valuable-medicinal-plant.pdf

4. Bode, A. M., & Dong, Z. (2011). The Amazing and Mighty Ginger. In I. Benzie (Eds.) et. al., Herbal Medicine: Biomolecular and Clinical Aspects. (2nd ed.). CRC Press/Taylor & Francis. https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/22593941/ 

Troli pembelian0
There are no products in the cart!
Teruskan membeli
0